Empangan Chereh








SEJARAH

Perancangan asal pembinaan Empangan Chereh adalah pada tahun 1992. Walau bagaimanapun, empangan ini hanya mula dibina pada 1 Mac 2002 dengan kos peruntukan asal sebanyak RM69 juta.

Kosnya kemudian meningkat kepada RM77 juta dan siap pada Julai 2008. Kos pembiayaan empangan ini ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan Malaysia.

 Dua syarikat tempatan yang membina empangan ini ialah MMN Bina Sdn Bhd dan AAY Construction Sdn Bhd, merupakan syarikat tempatan yang berpengalaman dalam bidang pembinaan (kejuruteraan awam dan kerja tanah) selama 20 tahun.





 
 
 
PERANCANGAN
 
Empangan ini terletak kira-kira 64 km di hulu Kuantan, Pahang. Dengan keluasan takungan 16.2 km persegi, empangan ini boleh menampung 260 juta meter padu air. Luasnya hampir menyamai 1/3 keluasan Putrajaya.
 
Kawasan takungan dan empangan adalah meliputi Hutan Simpan Chereh dengan keluasan tanah 15,200 hektar. Masa yang diambil untuk air takungan mencapai tahap maksimum adalah kira-kira 3 tahun.
 
Setelah air memenuhi empangan, beberapa buah pulau terbentuk, dan antara pulau terbesar mempunyai keluasan 100 hektar.
 
Empangan ini direka bentuk supaya dapat membekalkan 300 juta liter sehari. Pada tahun 2050, Empangan Chereh dijangka berupaya membekalkan sehingga 1000 juta liter air sehari.
 
 
 
 
 
 
 
OPERASI
 
Pada 29 Julai 2008, upacara perasmian penutupan pintu air dilakukan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob. Dengan itu, empangan tersebut mula menakung air dari hulu sungai.
 
Pada 29 Julai 2010, paras air empangan telah mencecah paras 74 meter dan perlu diturunkan ke paras 70 meter. Oleh itu Empangan Chereh, buat pertama kalinya telah melepaskan sejumlah 475 juta liter air sehari bermula 3 Julai 2010 (Selasa) bagi tujuan keselamatan empangan berkenaan.
 
Empangan Chereh diselia oleh Badan Kawal Selia Air, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang.